KUALA TERENGGANU - Lebih 4,000 pelajar lepasan UPSR menduduki ujian pemilihan kemasukan ke tingkatan satu untuk sekolah menengah agama Terengganu (SMAT).

Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar SMAT, Razak Jusoh berkata, ujian tersebut berjalan serentak di sembilan sekolah selama satu jam setengah, bermula 9 pagi pada Isnin lalu.

Menurutnya, sekolah terlibat adalah SMA Ladang, SMA Khairiah, SMA Marang, SMA Sultan Ismail, Dungun, SMA Al-Falah Kemaman, SMA Setiu, SMA Maarif dan SMA Ittifaqiah, Besut dan SMA Mahmudiah, Kuala Besut.

“Pelajar perlu menduduki ujian di sekolah yang dipilih dan keputusan akan diperoleh seminggu daripada tarikh ujian kerana mereka akan mula mendaftar di sekolah masing-masing pada 26 Disember ini,” katanya.

Razak berkata, pelajar yang menduduki ujian itu perlu mendapat keputusan sekurang-kurangnya 3A 2B dalam UPSR dan terlebih dahulu memohon kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jaheat), Bahagian Pendidikan; Sekolah Menengah Agama Negeri.

Seorang pelajar, Muhammad Syafiq Mohd Rudin, 12, yang mendapat keputusan 4A 1B, dari Kampung Bukit Nangka, Bukit Guntong berkata, dia memang berhasrat melanjutkan pelajaran ke sekolah agama.

Menurutnya, minat tersebut bertambah apabila melihat abangnya, Mohd Iqram Hakimi, 15 terlebih dahulu belajar di Madrasah Al-Huda.

“Apabila mendapat keputusan UPSR, saya terus memohon dan harapannya saya layak menjadi salah seorang pelajar di SMA Ladang,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Ilham Mohd Afandi, 12, berkata, dia membuat persediaan rapi dengan membaca pelbagai bahan bacaan sebelum menduduki ujian tersebut.